14 Oct, 2009  |  Written by admin  |  under Takaful/Insurans

Sebelum saya bicarakan sejarah takaful, seeloknya saya bercerita sikit tentang konsep takaful. Skim takaful adalah berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan di mana peserta-peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud yang sama itu.

Takaful atau insurans sebenarnya bermula sejak zaman nabi Muhammad SAW lagi (1400 tahun yang lalu). Ketika zaman tersebut, pedagang-pedagang Arab yang berniaga ke serata dunia telah menggunakan bermacam-macam jenis pengangkutan untuk membawa barang mereka. Didarat mereka menggunakan kuda dan unta, manakala jalan laut mereka menggunakan kapal. Mereka berdagang membawa barang yang banyak dan melalui perjalanan yang jauh. Oleh itu, sepanjang perjalanan tersebut mereka terdedah kepada banyak risiko dan ancaman. Baik didarat mahupun dilaut. Antara risiko yang mereka hadapi antaranya adalah bencana alam seperti ribut dipadang pasir dan cuaca yang panas terik. Selain itu, ancaman daripada perompak, lanun, pembunuh juga bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian malah kehilangan nyawa.

Bagi meringankan risiko dan ancaman ini, mereka telah saling berpakat antara mereka mengagihkan barang dagangan mereka kepada beberapa kafilah atau kumpulan. Jika berlaku musibah ke atas mana-mana kafilah, kehilangan atau kerugian yang mereka hadapi hanya kepada kafilah tersebut sahaja, tidak kepada keseluruhan barang dagangan.

Selain itu, mereka juga mempunyai sistem aqilah atau satu sistem yang berteraskan kepada konsep saling bertanggungjawab dikalangan ahli. Mengikut sistem ini, setiap ahli bersetuju mewujudkan satu tabung atau caruman kumpulan wang yang dipanggil al-khanz. Semua pungutan yang dibayar oleh ahli akan dimasukkan kedalam tabung tersebut. Salah satu tujuan tabung ini adalah untuk membantu mana-mana ahli yang terlibat dengan pembunuhan secara tidak sengaja atau menebus tawanan perang muslimin daripada musuh.

Satu lagi sistem yang dipanggil qasamah, yang berhubung dengan nyawa manusia. Sistem ini juga melibatkan usaha mengumpulkan dana dalam sebuah tabung atau kumpulan wang daripada kutipan caruman ahli. Manfaat akan dibayar kepada ahli waris keluarga yang dibunuh jika kes pembunuhan itu tidak diketahui siapa pembunuhnya.

Kemudian, sistem ini berkembang maju sehinggalah sekarang ini. Cuma ia diperkenalkan semula sebagai konsep Islam diMalaysia ini sejak 1984. Sekarang, pasaran takaful ini sudah berkembang sehingga menyamai pasaran insurans konvensional.