Untuk post pertama ini, terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang kepada semua pembaca. Semoga blog ini dapat memberi informasi dan pengetahuan berguna mengenai insurans dan pengurusan kewangan kepada anda.

Persoalan kita yang pertama, adakah insurans mengebas atau membuat duit?

Saya tidak akan memberikan jawapan sama ada insurans ini ‘mengebas’ atau ‘membuat’ duit. Saya akan menjelaskan beberapa fakta dan anda sendiri yang akan menilai jawapannya.

Baik, anda perlu tahu dahulu 2 jenis insurans/takaful yang asas.

1. Insurans/Takaful am.

Insurans/takaful am memberikan perlindungan jangka pendek atas harta benda dan liabiliti terhadap kerugian atau kerosakan.

Insurans jenis inilah yang kita biasa berurusan untuk kereta dan motor kita. Ia dipanggil insurans kenderaan.

Ada juga insurans jenis yang bukan melibatkan kenderaan tetapi lebih kepada individu-individu tertentu contohnya usahawan dan sesetengah pemilik rumah yang ingin melindungi rumah mereka serta barang-barang yang mahal dan berisiko tinggi contohnya kapal laut, kapal terbang dan sebagainya. Ia dipanggil insurans bukan kenderaan.

Adakah insurans ini menguntungkan atau menghabiskan duit anda?Perhatikan beberapa situasi berikut

Situasi 1

Beberapa bulan lepas, bapa kepada seorang rakan saya telah membeli sebuah kereta jenis Toyota Camry yang baru. Apabila kereta baru, nilai perlindungan insuransnya mengikut harga kereta iaitu RM100k++. Nasib kurang baik menimpa, kereta tersebut dicuri dua minggu selepas itu. Oleh itu, pihak insurans perlu membayar kembali dengan nilai asal kereta tersebut RM100k++.

Dengan nilai tersebut dia gunakan untuk bayar hutang kepada bank sambil meneruskan bayaran bulanan manakala sebahagian lagi digunakan sebagai deposit untuk membeli kereta Mercedes yang baru!

Walaupun kecurian tetapi ada hikmahnya selepas itu kerana bukan sikit untuk mengumpul deposit yang banyak untuk membeli Mercedes. Apabila mendapat ‘cash’ sebanyak itu, impian untuk membeli Mercedes tercapai.

Situasi 2

Sekitar tahun lepas, pakcik saya telah terlibat dalam satu kemalangan. Tuntutan insurans dibuat.

Beberapa bulan kemudian, keretanya dicuri. Oleh kerana tuntutan pertama ketika kemalangan telah dibuat, pihak insurans tidak lagi menanggung untuk kecurian kereta tersebut.

Disebabkan itu, pakcik saya terpaksa menanggung beban hutang keretanya walaupun keretanya sudah ‘tiada’ sehingga hutangnya habis untuk beberapa tahun lagi.

Situasi 3

Situasi ini berlaku kepada diri saya sendiri. Saya telah terlibat dalam satu kemalangan dan membuat tuntutan insurans. Oleh kerana NCD (no-claim-discount) kereta saya telah diubah ke kereta yang baru, maka kereta tersebut mempunyai NCD 0%. Dan sememangnya apabila membuat tuntutan, secara automatik nilai NCD yang terkumpul contohnya 55% akan menjadi 0%. Nilai kemalangan tersebut RM1k++ sama dengan 2 tahun bayaran insurans untuk kereta tersebut.

Situasi 4

Kebanyakan daripada kita adalah didalam situasi ini. Situasi ini apabila anda membayar insurans tiap-tiap tahun untuk kenderaan anda tetapi tidak membuat tuntutan kerana tidak berlaku kemalangan atau kecelakaan. Apa pandangan anda terhadap beberapa situasi diatas? Dapat duit atau keluar duit? Baiklah, saya akan sambung di post yang berikutnya tentang jenis insurans/takaful yang kedua iaitu insurans/takaful hayat. Adakah ianya menguntungkan atau merugikan anda.